Monday, November 26, 2007

Hari Jadi Raimie

Raimie dah satu tahun. Kek lagi besar dari birthday boy. Hehehe. Masa ni satu family, even dari Raub & Brunei datang menyambut hari jadi Raimie

Apahal semua orang tengok aku nih???!!!

Raimie dah dua tahun. Ambik gambar control macho gitu. Masa ni hanya Mama, Papa, Raimie dan 2 orang "Mak & Bapak" angkat yang menyambut hari jadi Raimie. Masa ni Raimie minat Pooh Bear, jadi keknya pun kek gambar Pooh bear

Raimie keletihan sampai tertidur. Tapi hadiah teddy bear & belon masih tak lepas dari tangan

Hari jadi ke-empat.
Gambar hari jadi ketiga entah hilang ke mana dah... Tapi kek hari jadi ketiga best woo!! sebab Mama & Papa arrange kek gambar Ultraman tau!


Yeay! Mok De & Pok De hadiahkan Ultraman!!! Tenkiu tenkiu...

Tak lama lagi hari jadi Raimie. Masuk tahun ni 5 kali kita sambut hari jadi dengan Raimie kan? Masih tiada rancangan untuk anak Mama sorang ni. Tengoklah nanti ye... walaupun Raimie dah beberapa kali kenen Mama & Papa untuk pergi tempat kesukaannya. (Anak Mama ni tastenya MAHAL!)

Friday, November 23, 2007

Gurney Drive di The Gardens - Mid Valley tidak halal

Hari ini dan hari Isnin Gurney Drive (outlet makanan baru) di The Gardens ada membuat promosi makanan percuma untuk pengunjung.

Yang sedih, ramai orang Melayu beragama Islam yang makan disitu. Saya sedih sebab Gurney Drive menyajikan babi dalam menu nya. Maknanya outlet ini TIDAK HALAL!

Rakan yang bukan beragama Islam sibuk mengajak saya sebab mereka kata ramai wanita bertudung makan di situ. Kenapalah wanita-wanita berkenaan alpa untuk melihat apa menu sajian di tempat ini hinggakan tidak perasan ada perkataan PORK di menu mereka hanya disebabkan makanan percuma?

Tuesday, November 20, 2007

Dulu dan sekarang

Raimie sibuk mengadap notebook

Anak-anak sekarang banyak terdedah dengan teknologi. Mereka lebih reseptif (receptive)dengan teknologi baru. Raimie pun apa kurangnya. Saban hari berebut dengan Mama dan Papa untuk menggunakan notebook. Maklumlah, notebook satu sahaja...

Sedangkan handphone berkamera atuk pun Raimie yang ajar atuk cara nak menangkap gambar. Hihihi. DVD, PSP, Nintendo, Kamera, Handphone - semuanya Raimie pandai "operate" sendiri.

Tapi macam ada "trade-off"nye juga. Anak Mama yang satu ini tak macam Mama dan Papa semasa kecil. Bermain air di sungai (/parit - Papa main air Sungai Klang!), mengail, menangkap serangga, mengejar ayam jiran, mengait buah - Raimie tidak ada pengalaman ini. Malah, Raimie tak tahan panas pun...

Sekarang nak bermain air, pergi ke Sunway Lagoon. Nak tengok kambing, ular, biawak kena ke Zoo. Nak petik buah, kena book cuti ke Corporate Farm dan duduk di chalet. Memang berbeza. Suasana kampung pun sudah tidak sama sekarang... Dulu rumah Atuk rumah papan, sekarang Atuk & Opah tinggal di rumah batu.

Kalau dulu, perkara biasa jatuh pokok, sekarang alamatnya Atuk di Bangsar akan menjerit kalau Raimie cedera! Mama dulu jatuh hingga kena 7 jahitan di dahi lagi! Jatuh pokok perkara biasa. Jatuh motor pun begitu (maklumlah umur 10 tahun dah pandai bawak motor) tapi yang ini tak boleh mengadu dengan Opah... Tahan sakit sorang-sorang. Huhuhu

Kalau dulu Opah tidak risau Mama bermain seharian di luar tapi sekarang, Mama minta maaf, Mama tak akan benarkan Raimie keluar rumah seorang! Bahaya!

Monday, November 19, 2007

UPSR

Dah berapa hari keputusan UPSR keluar. Macam-macam cerita pun keluar. Kawan Mama yang kecewa sebab anaknya hanya dapat 2A, merajuk tak nak masak untuk anaknya itu. (Agaknya dia malu dengan anak kawan lain yang dapat 5A).

Hari ni dalam surat khabar, ada pula kes anak yang bunuh diri sebab kecewa dengan keputusan UPSR. Sedih Mama baca. Kenapalah anak kecil itu merasa begitu tertekan hingga sanggup membunuh diri.

Entahlah, bagi Mama dan Papa, asalkan Raimie membesar menjadi anak yang berguna dan solehah sudah cukup. Kejayaan atas kertas bukanlah segalanya. Harapan Mama biarlah Raimie nanti membesar dan mengikut impian Raimie sendiri. Mama dan Papa pasti akan menyokong Raimie.

Sunday, November 18, 2007

Ikan lagi

Semalam Mama beli ikan kembong untuk makan tengah hari hari ini. Papa beri komen yang dia dah dekat 1 abad tak makan ikan kembong. Tak percaya? Memang betul pun...

Ikan yang selalu Mama beli ialah ikan bawal, ikan selar, ikan pari, ikan siakap dan ikan salmon. Dulu masa bujang sahaja Papa makan ikan kembong ni...

Teringat pula masa di Kampung. Dulu Mama paling suka makan ikan sepat & ikan puyu. Tak payah susah-susah beli. Mama dan Makcik Liza kalau masa cuti sekolah suka sangat pergi memancing. Ikan yang paling selalu ditangkap ialah ikan sepat & ikan puyu. Di depan rumah lama Tok Wan dulu ada lopak besar yang tak pernah kering. Dalamnya memang banyak ikan, terutama selepas banjir sebab banyak ikan terperangkap di situ. Cucu-cucu Tok Wan memang suka tangkap ikan di situ, tapi kami tak berani masuk ke dalam lopak tu sebab banyak lintah! Sampai sekarang Mama geli sangat dengan lintah!
Kalau di rumah Tok Long di Chenor lebih seronok. Pak Cik Jije ada sampan kecil yang boleh kami naik ke tasik (tapi bukan Tasik Chini!)

Thursday, November 15, 2007

Ikan Kelah

Dalam akuarium tu ialah anak Kelah. Atuk dapat anak kelah ini dari orang-orang asli di Bertau Valley.

Ikan Kelah yang dewasa, bukanlah murah harganya. Ikan Kelah atuk semuanya atuk dapat dari orang asli di sana. Maklumlah, atuk selalu masuk hutan.

Yang atuk beri kita hari tu, kalau dijual, harganya mencecah RM100.00! Tapi untuk kita, atuk beri free (sayang anak & cucu... heee)

Masakan biasa, di steam ataupun masak tempoyak. Istimewa ikan Kelah ini, sisiknya juga boleh dimakan, jadi tak perlu susah-susah membuang sisik. Tapi jaga-jaga! tulangnya banyak juga! Mama masak steam saja sebab tak jumpa cari tempoyak. Lagipun Mama tak berapa suka tempoyak beli. lebih sedap tempoyak buatan sendiri. Ikan Kelah memang sedap... tapi takkan nak makan selalu kan?

Anak Kelah di kedai-kedai ikan pun bukanlah murah. Di Raub, seekor anak Kelah harganya dari RM3.00 - RM8.00. Di Balakong ini, anak Kelah hampir RM10.00! Itu belum lagi bapak Kelah!

Monday, November 12, 2007

Hari yang sibuk

Raimie ada aktiviti "talent show" hari sabtu lepas. Sibuklah Mama dan Papa sekali. Bangun lebih awal dari hari ke sekolah sebab pukul 7.15am cikgu suruh berkumpul di hadapan sekolah. Tapi, macam biasa sebab janji melayu - pukul 8.30am baru semua ibu bapa & anak-anak sampai. Sempatlah Papa dan Mama makan pagi di gerai sebelah dahulu...

Hari ini juga, Raimie dapat hadiah untuk Pertandingan Bercerita tempoh hari walaupun sebenarnya Raimie tak hadir sebab Raimie demam panas.

Main dulu sampai menangis...

dengan teman menari. kontrol macho sikit

stage fright. habis rosak rambut mama yang baru lepas rebonding. muahaha....

stage fright hilang sebab dapat main

selepas acara. mari tengok hadiah

awak dapat hadiah apa?


Friday, November 9, 2007

Raimie dan Mama


Antara kita, ada banyak tabiat yang sama. Ada yang lucu, seperti gambar itu (tapi bila dah besar Mama dah tak buat tau!) dan ada yang kalau boleh, Mama tak mahu Raimie ikut. Apa? Biarlah rahsia...


Wednesday, November 7, 2007

Kembara

Di tapak kaki Mama ada tahi lalat. Opah pernah berkata, itu maknanya Mama akan berjalan jauh.

Mama tak pernah belajar di negara orang, tapi Mama puas juga dapat menjelajah ke negeri-negeri untuk menghabiskan persekolahan Mama.

Semasa di sekolah rendah, cuti sekolah Mama habiskan di rumah Moyang Raimie di Shah Alam. Belum pun sekolah ditutup secara rasmi, Moyang Raimie pasti akan datang menjemput Mama ke sana. Masa cuti Mama juga dihabiskan di Chenor, di rumah Tok Long (tanpa Atuk dan Opah dan adik-beradik lain) dan di Kepong (rumah Tok Hitam). Ketika kecil, puas melawat seluruh negeri-negeri di Malaysia bersama Moyang Raimie.

Kemudian, semasa darjah enam, Mama memohon untuk ke sekolah berasrama di Sabah. Bukan rezeki Mama untuk terbang ketika berumur 13 tahun agaknya, tapi Mama berpeluang belajar di Kuantan. Homesick, tiada sama sekali. Agak pelik bagi orang lain… Sekolah di Kuantan memang seronok, Mama berpeluang masuk Kelab Perahu Layar di sini. Tiap minggu mandi laut!

2 tahun di Kuantan, kami yang berada di Tingkatan Dua telah dipindahkan ke Kerteh. Setahun Mama di sana. Pengalaman yang menyeronokkan sebab sekolah di Kerteh itu memang sangat cantik. Dari bilik Mama (di bangunan apartment 10 tingkat) boleh nampak persisiran pantai.

Untuk masuk ke Tingkatan 4, Mama telah memohon untuk ke Terendak, Melaka. Sekolah terletak di dalam Kem Tentera. Rasional Mama, lebih kemudahan yang disediakan untuk anak-anak tentera di situ. Berpisah dengan sahabat baik (yang lebih pandai dan berjaya masuk ke Taiping).

Peluang belajar dalam bidang TESL Mama tolak selepas SPM, kerana penat rasanya tinggal berjauhan. (Ada sekali Mama tidak balik setahun, kerana sibuk menghadiri kem-kem cuti sekolah!) Alhamdullilah, MARA baik hati dan menawarkan Mama belajar bidang IT pula (walaupun ketika sekolah ini subjek lemah Mama).

Belajar tidak jauh, di Kuala Lumpur sahaja. Setiap hari berulang alik dari Klang (rumah baru Moyang) ke Kuala Lumpur. Penat? Masa itu, tidur pukul 2 pagi bangun pukul 5 pagi tidak menjadi hal pun!

Agaknya sebab banyak berpindah randah, sekarang ini Mama sudah penat. Mahu tinggal setempat, kalau boleh tinggal di rumah yang sama hingga akhir hayat. Melihat wajah Papa wajah yang bakal tua bersama dan anak Mama yang membesar.

Tidak tahu bagaimana arah tuju Raimie pula. Tapi Mama dan Papa ada satu harapan – untuk Raimie melanjutkan pelajaran di Jepun, supaya kami ada lebih alas an untuk melawat Jepun. Muahaha…

Tuesday, November 6, 2007

Biji Perah / Buah Getah




Siapa pernah makan buah perah / biji getah? Hah? Boleh makan ke?

Kalau di Raub, Lipis & Bentong, Buah Perah lah digunakan dan di Jerantut, Biji Getah. Untuk buat apa? Sebagai bahan masakan Asam Rong. Ada artikel pernah keluar dalam The Star tak lama dulu.

Raimie tak pernah makan Asam Rong / Asam Rum (bukan Asam pedas ye... - warna dia kuning) sebab pedas. Yang arif dalam memasak Asam Rong dalam keluarga ialah Atuk. Memang sedap.
Ada sesetengah kawan Mama (orang Raub juga) yang kata, orang Ulu sahaja yang makan ni. Tak kisahlah, orang Ulu pun orang Ululah...

Sekarang nak cerita tentang bagaimana nak proses buah perah ni:
1. Buah Perah / Biji Getah perlu dijemur selama 1 minggu (bersama kulit)
2. Selepas seminggu, kopek kulitnya yg keras tu, dan jemur selama seminggu lagi
3. Setelah cukup kering, bolehlah ditumbuk.
4. Tumbuk isi dengan sedikit ar (Atuk guna lesung kayu, sebab selalunya Atuk tumbuk buah perah seguni banyaknya)
5. Isi dalam balang
6. Jual di pasar. Atuk jual dengan harga RM10 sekilo. Siapa berminat, bolehlah kontek Mama (hihihi)

Selepas ini, Mama akan bercerita tentang cara memasak Asam Rong pulak.

Pertandingan Bercerita

Beberapa hari kebelakangan ini, sebagai persediaan untuk Raimie masuk Pertandingan Bercerita, Mama tegas (garang betul…) melatih Raimie. Mama harap Raimie faham kenapa Mama jadi begitu tegas. Alhamdulillah, Raimie dapat mengingati cerita Raimie (walaupun tidak 100% ikut skrip) dengan baik, walaupun kita berlatih dengan masa yang suntuk.

Papa tidak berapa masuk campur, kerana bagi Papa ini “forte” Mama. Maklumlah, ketika zaman bersekolah dahulu, Mama memang suka naik pentas. Bukan untuk menyanyi atau berlakon (tidak boleh berlakon lansung, keras macam kayu), tapi untuk Koir, Pertandingan Deklamasi Sajak, Pidato dan Bahas. Tidaklah bagus, tapi inilah aktiviti yang amat Mama suka satu masa dahulu.

Kasihan juga pada Raimie, kerana pada saat-saat akhir, guru Raimie menukar “entry” Raimie dari bercerita dalam Bahasa Malaysia kepada Bahasa Inggeris. Cerita yang Mama tulis untuk Raimie, Mama harap tidak sukar untuk Raimie.

Mama percaya pada kebolehan Raimie! Kalau Raimie boleh kenal semua Ultraman, apalah sangat menghafal cerita 5 paragraf kan? kan? kan?

Monday, November 5, 2007

Anak Tunggal

Sudah banyak kali kenalan bertanya kepada Mama dan Papa kenapa kami hanya ada Raimie seorang.

Pertanyaan- pertanyaan yang acap kali menjurus kepada soalan memberi tekanan (pressure) ini memang selalu Mama dengar.

Bukan Mama dan Papa tidak mahu Raimie beradik, tapi untuk mendapatkan Raimie pun Mama dahulu engkar pesanan doctor (doktor-doktor sebenarnya). Mama rasa tidak adil kalau Mama lakukan yang sama sekarang, terutama kepada Raimie.

Mama harap Raimie tidaklah sesunyi mana. Raimie sekarang pun sudah ke sekolah (tadika). Sudah sibuk dengan rakan-rakan dan tugasan. Di rumah pun, Mama harap Raimie tidak sunyi sebab Mama dan Papa pasti meluangkan masa untuk menemani Raimie bermain dan belajar bersama.

Ramai yang berkata menjadi anak tunggal tidak bagus. Anak tunggal sukar berkongsi dan pentingkan diri sendiri, kata mereka. Mama perhatikan, Raimie tidak kisah untuk berkongsi dan tidak pernah merungut bila teman bermain lebih leka bermain dengan permainan Raimie daripada bermain dengan Raimie (walaupun Mama dapat lihat Raimie menunjukkan riak tidak puas hati).

Hidup punya adik-beradik ataupun sebagai anak tunggal ada pasang surutnya. Mama harap Raimie dapat membesar dengan perasaan Raimie dikelilingi doleh orang-orang yang menyayangi Raimie. InsyaAllah.

Saturday, November 3, 2007

Lagi Cerita Petai

Arwah Moyang Raimie (Atuk Mamalah ye) memang suka makan jeruk petai…. Nak buat pun senang sahaja.

Jeruk Petai

Mula-mula celur petai dengan air panas
Lepas tu kopek petai tadi
Gaulkan dengan garam dan biarkan 1 jam
Bilas
Rendam petai dengan air masak sejuk dalam bekas seperti balang
Sedia untuk dimakan

Friday, November 2, 2007

Cerita Tentang Petai

Petai (Parkia speciosa ,twisted cluster bean, yongchaak or stink bean)

Setandan seperti yang ada dalam gambar tu ada lebih kurang 100 papan. AtukRaimie ada dua cara menjual petai: dengan menjual kepada peniaga (di pasardan peniaga gerai makan) dan menjual runcit sendiri.


Kalau dipasar malam di KL ni, 3 papan petai sudah berharga RM2.00, tapi di Raub Atuk menjual petai dengan harga yang sama untuk 6 papan petai. Sebab itu, petai Atuk cepat habis! Kalau Atuk jual sendiri, lokasi atuk ialah di perhentian bas Raub. 3 tandan petai yang Atuk bawa untuk jualan akan habis dalam masa 1-2 jam sahaja.


Bukan senang untuk Atuk dapatkan stok petainya. Kadangkala orang datang menghantar stok petai jadi senanglah sikit Atuk. Tapi selalunya Atuk akan masuk ke hutan bersama Pak Ngah untuk stok petainya. Petai yang atuk jual petai hutan. Dibeli dari Orang Asli! Sebab itu petai Atuk memang kuat penangannya (rasa dan juga bau) - maklumlah petai hutan. Tak mainlah petai kacuk…

Mama & anak-anak atuk yang lain memang bangga jadi anak toke petai tau!


Banyak cara untul menikmati petai:

1. Makan sebagai ulam (mentah)

2. Dimasukkan dalam masakan (peberet Mama ialah Sambal Petai & Ikan Bilis)tambah nasi tiga kali!

3. Petai Bakar (dilalukan di atas api sampai kulitnya sedikit hangus) Sedap…(sesuai untuk petai tua)

4. Jeruk

Apa cara sekalipun, semuanya sedap…

Thursday, November 1, 2007

Papa Outstation!

Sekarang Papa tengah sibuk berkemas sebab esok Papa akan ke Cherating. Tinggal Mama & Raimie di rumah sepanjang hujung minggu. Esok, balik kerja kita sama-sama naik komuter ye? Harap-harap ada orang beri Raimie tempat duduk, kalau tak kesian anak Mama (bukan sebab takut penat, tapi takut dipenyek kalau tren tu penuh)

Papa, have fun! Harap perjalanan Papa selamat pergi dan selamat pulang. Balik nanti belanja Mama & Raimie makan di Ichiban Ramen ye... hehehe
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...