Monday, March 31, 2008

Dah Balik dah!

Adeh, kelakar betullah semalam.

Ralit layan Raimie main di tempat permainan di Changi Airport dan baru nak bergerak ke Gate pukul 7.44 malam. Apa yang kecohnya? Sebab kapal terbang bertolak pukul 7.50malam!

Bila dah tersedar Gate dah nak tutup, apa lagi, pecut 200 meterlah Papa dan Mama. Papa dukung Raimie dan Mama berlari tolak troli. Muahaha!!! Tengah jalan, ada stewardess JAL tengah menunggu. Dari Security Gate orang dah escort supaya cepat. Sambil security check, sambil tu pass transit card & passpot. Sepanjang jalan dari security gate sampai jejak kapal terbang, ada orang meng'escort. Haru haru... Tak sempat duduk, kapal terbang dah bergerak. Pengumuman dalam kapal terbang tentang delay dalam bahasa Jepun, tapi malangnya Mama faham pulak.... bersalahnya rasa. Dua tiga kali cakap gomen nasai kat orang. Keskeskes...

Tulah, selalu kutuk orang tak ikut prosedur. Padan muka. Masa flight sendiri pun tak perasan.

Saturday, March 29, 2008


Nak balik dah. Sekejap aje, pejam celik pejam celik sudah 2 minggu di Jepun. Cepatnya masa berlalu kalau kita tengah seronok.

InsyaAllah, ada rezeki kita datang lagi. Kalau (dan Papa kata besar KALAU nya ini) kita datang lagi, hanya bercuti di Tokyo. Tak nak berebut ke sana sini sebab nak naik Shinkansen lagi. (Tapi Hokkaido dan Okinawa tak sampai lagi kan?) Hehehe...

Hari Isnin terus kerja. Ughhh...

Wednesday, March 26, 2008

Sudah di Kanazawa

Semalam kita habiskan masa di Ueno. Jalan-jalan tengok bunga sakura di Ueno Park (yang amatlah ramainya orang) dan main bot kayuh di tasik. Nasib baik semalam cuaca elok dan hari pun panas. Petang pula, kita habiskan masa di Asakusa. Rindunya.... Yelah, inilah tempat yang kita tinggal untuk percutian-percutian sebelum ini. Mama nak beli key-chain di Nakamise Dori sebenarnya.

Malam kita makan tempura di Tenya. Kedai itu nampankya penuh dengan Mat Salleh semalam. Tak sesedap dan sehebat kedai tempura yang Aunty Hanny bawa kita makan di Mojiko.

Hari ini kita sampai ke Kanazawa. Semalam bermalam di dalam keretapi. Mama dan Raimie naik Ladies Car, dan Papa pula di gerabak reserved lagi satu. Memang lebih selesa di Ladies Car. Ada selimut. Dan gerabak ini tak sesejuk gerabak lain. Sedap dan nyaman, tapi Raimie (yang tak suka panas) merungut sebab pada dia tempat duduk panas!

Sampai di Kanazawa, hari hujan. Tak boleh nak lebih-lebih berjalan sebab sejuk. Bila dah cerah sedikit, kita ke Kenrokuen. Memang sangat cantik. Subhanallah. Tenang sahaja melihat air mengalir, bunga plum yang mekar (bunga sakura belum lagi). Kalau pergi musim panas, dapat tengok bunga iris ye?

Tak lama juga di sini sebab tengah hari hujan lagi. Jadi lari ke Musium Seni Kontemporari Kanzawa.

Hari ini dapat makan set ikan "kare". Papa dan Raimie makan ikan "saba". Dapat juga menikmati teh hijau bercampur dengan helaian emas (yang popular di Kanazawa) dan juga teh bunga sakura. Petang dapat merasa makan macha ice cream dengan mochi. Kenyang...

Sampai di hotel, tidur sampai pukul 10 malam. Ingat nak tidur sekejap, tapi sedar-sedar dah terlajak.... Raimie belum sedarkan diri lagi. Takpelah, tidur sampai esok pagi.

Esok nak ke Osaka pula. Perhentian terakhir sebelum pulang ke Malaysia. Cepatnya masa berlalu, minggu depan dah kena kerja semula...

Monday, March 24, 2008

Membeli-belah di Karuizawa

Amboi, seronok sakan hari ini di Karuizawa. Kalau boleh, Mama dan Papa nak duduk 3 hari 3 malam di situ (kalau ada masa dan duit, memang jadi punya).

Betul kata Nash, tak cukup sehari di sana. Mama pun cuma dapat beli sepersalinan pakaian : satu baju, satu skirt, satu kasut dan satu beg tangan. Papa beli kasut Nike (yang amat murah!), baju Lego dan omiyage untuk rakan Papa.

Tak beli apa-apa untuk Raimie, sebab nak beli baju Giants, Raimie tak mahu. Kalau boleh, lain kali, kalau ada rezeki untuk kembali ke Tokyo, teringin nak ke Karuizawa sekali lagi. InsyaAllah. Sapa nak ikut? Hihihi

Ini gambar Nintendo DS Lite dan game Shin-Chan yang Papa dan Raimie beli semalam. Semua sekali hanya 20,00yen (lebih kurang).

Hari ini, Raimie lansung tak tidur dalam shinkansen. Dok ralit main game Shin-chan yang baru. Mama ajelah yang terbungkang, sebab Papa pun seronok dengan game. Eloklah tu, sorang satu game, sapa nak layan Mama...

Sunday, March 23, 2008

Di Shibuya, Raimie dan Mama sahaja

Hari ini Raimie seronok sangat. Apa tidaknya, dapat berjumpa dan bermain dengan rakan di rumah Kak Aini di Shibuya. Bermain hingga tak ingat lapar dan penat. Raimie tak lekang mengikut Qayyim sebab Qayyim ada game Nintendo. Hihihi

Mama pula seronok dapat berjumpa akhirnya dengan Kak Aini, Kak Hani dan juga Ummi. Ada rakan baru juga, Nad, Kak Pah, Kak Mega dan Riza. Layan cakap Utara no...

Terima kasih banyak semua. Sedapnya makan laksa... Tak sedar sekejap masa berlalu, tup tup sudah pukul 5 petang.

Tak cukup dengan itu, kita dapat pula hadiah dari rakan-rakan di Jepun ini. Baiknya kalian, susah-susah aje. Sudahlah datang tak tolong masak pun, basuh pinggan pun tidak. Hihihi... Terima kasih sekali lagi.

Balik ke hotel dan keluar semula selepas Papa pulang. Arah tuju ke Bic Camera. Papa beli Nintendo DS Lite berwarna merah, sebab susah nak berkongsi yang lama dengan Raimie. Seorang satu game, habislah Mama... Jadi janda sebab yang berdua ni kalau dah ralit dengan game, mana ingat benda lain. Muahaha!!!!! Raimie pula dapat game Shin-Chan yang baru keluar dua tiga hari lepas dan juga beg game yang baru. Seronok sangat sampai lupa penat.

Esok, nak ke Karuizawa. Ikut cakap Nash & Riza. Bersedia nak tengok duit melayang esok.

Friday, March 21, 2008

Sudah di Ikebukuro

Semalam ada drama nak naik keretapi. Keretapi lambat di Shin Osaka untuk ke Kanazawa, sedangkan masa yang kita peruntukkan untuk bertukar keretapi hanya 1/2jam. Perjalanan 2 jam menjadi 3 jam setengah.

Terpaksa pula duduk di dalam gerabak boleh merokok. Pening kepala Mama. Kesian Raimie kerana gerabak itu agak panas. Nasib baik, setelah dua jam, ada tempat kosong di gerabak lain, jadi dapat bertukar tempat duduk. Dan nasib baik keretapi tengah malam dari Kanazawa ke Ueno juga lambat bertolak, sempatlah kita naik keretapi Noto yang agak "retro" rupanya. Raimie yang dari pukul 9 mlm sudah tertidur tidak sedar bila Papa mendukungnya masuk ke keretapi lagi satu, dan terus nyenyak tidur sampai ke Tokyo.

Nak dijadikan cerita, hari ini kita anak-beranak tak mandi pagi. Heeee.... Busuk ke? Nanti tanya Uncle Ian yang kita jumpa tengah hari tadi. Dan nak dijadikan cerita lagi, elok pula Mama angkat bendera merah dua tiga hari ini.... Susahnya bila ke tandas yang tiada air... Papa mana faham, sebab dia orang lelaki.

Petang tadi, dapat juga Mama menelefon Auntie Aini, Kak Alifah dan Auntie Umi. Cuba menelefon Auntie Hani, tapi tak dapat, begitu juga Auntie A Z Haida. Apalah Mama, suka benar mengacau orang. :D

Esok, kita ke Yuzawa. Anak-beranak nak main dengan salji untuk pertama kali dalam hidup. Anak-beranak kenalah menyewa baju sejuk di sana, dan tak tahu berapa lama dapat tahan bermain dalam sejuk.

Hari Ahad, nak ke Shibuya. Ke rumah Auntie Aini. Jumpa dengan teman blog Mama yang selama ini tak pernah bersua. Tak sabar rasanya...


Wednesday, March 19, 2008

Kami di Jepun!

Sudah 4 hari di sini. Malam ini bermalam di Hiroshima. Dua malam sebelum di Hakata dan sebelum itu di Huis Ten Bosch di Nagasaki.

Hari ini seronok berjalan dan berjumpa dengan Hanny di Mojiko, Kyushu. Jasa Hanny melayan kami terutamanya melayan celoteh Raimie, kami amat-amat hargai. Terima kasih Hanny sebab meluangkan masa dengan kami!

Nak naik feri ke Miyajima, tapi hujan sepanjang hari. Kalau cuaca elok esok, mungkin dapat ke Miyajima sebelum naik keretapi ke Kanazawa. Kalau tak, tiada rezeki. (terpaksa datang lagi lain kali, kan kan? Hehehe)

Raimie seronok di Jepun. Makan pun berselera. Dia memang suka makan nasi melekat (kata dia). Kala masak beras jepun di rumah, memang banyak dia makan. Anak Jepun celup. Muahaha!

Sekarang ni, Papa tengah tidur. Nampak macam Papa nak kena selsema (sebab kena hujan / sebab hari-hari sebelum ini Papa merayap hingga lewat malam). Raimie, main air dalam ofuro. Mandi dan berendam sampai kecut. Maklumlah, di rumah mana ada bath tub. Lain lah Mama & Papa kaya, boleh install satu di dalam bilik air (dan parah bayar bil air).

Esok malam tidur dalam keretapi. Sampai di Tokyo pukul 6 pagi hari Jumaat. Seronok ke tidur dalam keretapi? Entah, sebab ekspress Sinaran Malam pun tak pernah naik. Hihihi

Wednesday, March 12, 2008

Lagi Dua Hari

Lagi dua hari nak terbang ke Jepun. Yeay!
Dah last minute, kelam kabut sebab barang-barang yang dipasang nia nak beli hari tu, tak beli / tak sampai lagi....
Apa-apa pun lagi dua hari, boleh lupakan kerja selama 2 minggu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...