Thursday, October 3, 2013

Penutupan NPE Untuk Adidas King Of The Road Pada 20 Okt

NPE Ditutup Pada 20 Okt Sempena Larian Adidas KOTR 2013KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama)

Lebuhraya Baru Pantai (NPE) akan ditutup bermula 3 pagi pada 20 Okt bagi memberi laluan kepada 11 ribu peserta larian 'Adidas King Of The Road' (KOTR) 2013.

Ketua Divisyen Tol IJM Corporation Bhd Wan Salwani Wan Yusoff berkata dua kategori yang dipertandingkan iaitu laluan 16.8km dan 10km akan bermula dan berakhir di pusat beli-belah Sunway Pyramid.

Larian itu melibatkan penutupan lebuh raya itu di KM0.3 di Subang Jaya sehingga ke Pantai Dalam di kedua-dua laluan, katanya dalam sidang media di sini Rabu.

"Persediaan sedang dijalankan oleh syarikat konsesi NPE Sdn Bhd untuk mengurangkan masalah lalu lintas apabila pengguna jalan raya akan menggunakan laluan lain. "

"Penutupan Lebuhraya NPE bermula 3 pagi, bagaimanapun lalu lintas akan dibuka sepenuhnya menjelang 11 pagi. Ia akan berlangsung pada pagi Ahad," katanya.

 Wan Salwani berkata NPE akan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi menutup 50 simpang bagi memastikan ia berjalan lancar dan menjamin keselamatan peserta.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Jenama Komunikasi dan Sukan Adidas Malaysia Gee Chou-Wei berkata laluan alternatif dirancang untuk melencongkan trafik bagi memudahkan pergerakan masyarakat setempat di sepanjang Lebuhraya NPE.

 "Mereka boleh menggunakan laluan alternatif ke Lebuhraya Persekutuan Laluan II, LDP, Kesas, MEX, Metramax dan laluan persekutuan," katanya.

 KOTR 2013 ialah sebahagian acara antarabangsa anjuran Adidas di lima negara Asia Tenggara. Malaysia merupakan peringkat terakhir dan selaku tuan rumah Adidas KOTR Asia Tenggara 2013 yang akan menyaksikan juara bertahan dari Filipina, Singapura, Thailand, Indonesia dan Malaysia bersaing untuk dinobatkan pemenang serantau Adidas KOTR tahun ini. -- BERNAMA

* JANGAN CAKAP TAK TAU PULAK NANTI KALAU SANGKUT DALAM JAM PAGI AHAD DEPAN SUNWAY *

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...